"DAP dan Pas mungkin mempunyai perselisihan faham tetapi itu tidak mungkin memindahkan undikepada UMNO. UMNO perlu mendapatkannya." - TUN DAIM ZAINUDDIN
SOALAN : Bagaimana Tun melihat mengenai pembebasan Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam kes liwatnya dan pada pandangan Tun apa perancangan beliau seterusnya dalam politik tanah air?
TUN DAIM: Ini telah membuktikan teori konspirasi dan badan kehakiman tidak bebas adalah tidak benar. Sekarang terpulang kepada rakyat untuk menilai rekod beliau. Beliau berjanji untuk mengambil alih kerajaan pada 16 Sept 2008. Kini telah terdedah bagaimana beliau merancang untuk melakukannya. Menurut satu laporan, beliau mahu menggunakan peruntukan sebanyak RM300 juta untuk membeli Ahli Parlimen BN. Bercakap tentang memerangi rasuah tetapi cuba membentuk kerajaan dengan cara memberi rasuah kepada Ahli Parlimen. Semestinya perkara ini benar kerana jika tidak sudah pasti beliau akan bertindak menyaman? Tetapi setakat ini, beliau hanya berdiam diri dan ia adalah sangat tipikal bagi sesetengah ahli politik. Bercakap lantang dan menuduh orang lain tetapi pada hakikatnya mereka juga mengamalkan salah laku seperti tuduhan yang dilemparkan kepada orang lain. Akhirnya paku dulang paku serpih, kata orang dia lebih.
Adalah ganjil melihat DAP dan Pas turut mendiamkan diri juga. Adakah mereka juga bersubahat dengan PKR untuk melakukan rasuah demi untuk ke Putrajaya? Saya pasti semua rakyat Malaysia ingin mendengar dari mereka.
Rancangan Anwar dari dulu hingga sekarang tidak bertukar. Beliau tetap bercita-cita jadi PM.
SOALAN : Sepanjang menjadi anggota Kabinet dan ahli kanan UMNO, bagaimana Tun melihat Anwar Ibrahim ketika masih di dalam Kabinet, selepas pemecatan dan pada masa sekarang?
TUN DAIM: Saya fikir soalan ini sesuai ditanya kepada Tan Sri Sanusi Junid. Sanusi dan Anwar bersama-sama di Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK), ABIM dan kemudian dalam Kabinet. Beliau lebih mengenali Anwar berbanding saya. Saya enggan bercakap tentang orang lain tetapi kerana anda bertanya saya akan menjawab.
Apabila kami berada di dalam Kabinet kita memang rapat. Kami adalah kawan. Selepas sahaja dia dipecat, dia melayan saya sebagai musuh. Tidak wujud dalam karakternya untuk mengakui kelemahannya sendiri dan saya berfikir bahawa dia perlu mencari kambing hitam untuk dipersalahkan dan Anwar telah memilih saya sebagai salah seorang daripada mereka. Ini kerana dia tahu bahawa saya tidak akan menjawab pengkritik saya secara terang-terangan dalam debat terbuka.
Pada penilaian saya, Anwar adalah seorang yang sentiasa bercita-cita tinggi dan cita-citanya itu telah membutakan beliau mengenai kebenaran, kejujuran dan kesaksamaan. Anwar mahu menjadi Perdana Menteri dan tidak peduli bagaimana dia melakukannya. Sayang sekali dia tidak dapat mengatasi kelemahannya untuk menyerlahkan kebaikan beliau. Kami tidak pernah berjumpa sejak tahun 1999.
Dengan pembebasan Anwar, pasti beliau akan lebih agresif dalam kempen menjatuhkan kerajaan serta memburukkan kerajaan di luar negara. Dari satu sudut ia dilihat menyuburkan sistem demokrasi tetapi pada masa yang sama tidakkah beliau dilihat keterlaluan dalam menyemai kebencian sama ada terhadap rakyat mahupun negara luar?
TUN DAIM: Anda bercakap mengenai kehadiran Anwar di setiap laluan kempen dan kekerapan beliau dalam temu bual dan ucapan di luar negara yang digambarkan sebagai “memburuk-burukkan” negara. Bagi Anwar dilihat di luar negara dan mendapat perhatian adalah sesuatu yang amat disukainya untuk menarik populariti sedangkan dia sedang berjuang untuk pilihan raya di Malaysia. Sebelum ini pun beliau telah menarik perhatian dari luar negara, jadi apa yang baru?
Jika saya masih ingat dengan betul, temu bual utama beliau di peringkat dunia adalah semasa selepas episod 2 September 1998 kepada majalah TIME. Temuramah telah dijalankan di Malaysia, sehingga beliau ditangkap. Ini kerana sebelum itu beliau sibuk menggesa rakyat Malaysia untuk marah pada kerajaan dan Dr. Mahathir ke atas apa yang telah menimpa beliau. Sejak Anwar dibebaskan pada tahun 2004, terdapat beberapa temu bual yang dijalankan di Malaysia. Ia seolah-olah menunjukkan bahawa media antarabangsa, lebih suka wawancara dilakukan di pejabat atau di bandar-bandar di luar negara. Adakah ini menunjukkan penurunan yang ketara dalam populariti Anwar sebagai bahan berita? Dalam hal ini, adalah perkara biasa bahawa sesetengah berita akan berkurangan popularitinya dalam satu tempoh tertentu. Dari satu sudut, berita Anwar lawan Mahathir sudah tidak lagi wujud. Mahathir telah digantikan dengan Abdullah Badawi yang mana cerita mengenai Saiful timbul, dan diambil alih oleh Najib Razak.
Di satu sudut Najib-Anwar tidaklah membangkitkan satu situasi seperti mana banyaknya episod Mahathir-Anwar. Sebahagiannya kerana Najib tak ambil peduli pun untuk menyatakan sentimen yang kuat untuk menentang Anwar. Mungkin terdapat pelobi yang menjelajah ke luar negara untuk bercakap dari sudut berita Najib-Anwar untuk memastikan berita itu tidak surut.
Salah satu sebab kenapa Anwar mahu melakukan semua wawancara di luar negara adalah untuk menunjukkan kepada pengundi di Malaysia bahawa beliau adalah personaliti utama dunia oleh itu berita itu mesti diambil secara serius. Anwar telah mengambil risiko yang berhati-hati. Beliau pasti sedar bahawa beliau harus ‘menghasilkan’ kata-kata’ yang kuat dan hujah-hujah yang kontroversi, ‘berani dan meyakinkan’, supaya lebih ramai wartawan mahu menemubual beliau agar mereka dapat menjadi orang pertama yang memetik hujah-hujah kukuh daripada Anwar pada saat mereka berharap untuk mewujudkan semula model seorang pemimpin Islam yang ideal. Seorang pemimpin Islam ideal kepada mereka adalah:
- liberal
- menerima trend sejagat seperti hak gay
- tidak bermusuhan terhadap Israel dan Amerika Syarikat
- mengutuk ekstremisme.
Itulah mengapa kita lihat BBC memintanya mengulas mengenai undang-undang mengenai homoseksual dan Wall Street Journal mengenai Israel. Anwar kini cuba untuk menampilkan dirinya sebagai ‘pemimpin Islam yang diterima ramai’ dan beliau berjaya mendedahkan kenyataan yang mereka mahukan. Tetapi di peringkat tempatan, kita tahu bahawa pendirian Anwar ini telah didorong oleh pihak asing.
Rakyat Malaysia mesti menganalisis aspek lain yang dilakukan melalui kempen media oleh Anwar, seperti dakwaan beliau terhadap kerajaan dan negara dalam penipuan pilihan raya yang tersebar luas atau amalan rasuah yang keterlaluan. Lebih banyak usaha beliau melanjutkan kempen di luar negara, Anwar akan cuba mendedahkan apa yang dikatakan sebagai ‘dosa kerajaan’. Sedangkan dalam istilah politik Amerika beliau sedang melancarkan kempen negatif.
Apakah beliau perlu menyerang Malaysia di luar negara? Padahal Anwar hanya perlu menonjolkan kejayaan negeri-negeri yang diperintah Pakatan Rakyat kepada pengundi di Malaysia dan kemudian barulah mencadangkan agar Pakatan Rakyat diberi peluang untuk melakukan keajaiban apabila memegang Putrajaya. Anwar tidak melakukan ini kerana dia menghabiskan terlalu banyak masa di luar negara. Beliau misalnya adalah penasihat ekonomi kepada Kerajaan Selangor.
Kekurangan ilmu dalam bidang-bidang ekonomi telah mencacatkan kerjaya politik beliau. Anwar tidak mempunyai keupayaan untuk memahami isu ekonomi yang kompleks. Beliau cenderung untuk menghafal dan kemudian mengulang seolah-olah dia membaca dari lirik lagu. Apabila dicabar atau ditanya soalan yang sukar, beliau akan hilang keseimbangan. Beliau bukan seorang pemikir ekonomi. Anwar adalah seorang pemidato dengan gaya Sukarno. Dia adalah acuan Sukarno. Cuba anda dengar semula semua wawancara beliau, dan dengan mudah anda akan dapat membuat senarai frasa yang beliau gunakan sepanjang masa.
Saya melihat lebih kerap Anwar ke luar negara ataupun dalam negara ‘hanya untuk menyerang’, akan lebih teruk kerenggangan antara pengundi di negara ini.
Bagaimanapun Anwar telah berhadapan dengan pelbagai masalah peringkat tempatan kerana wawancara di luar negara. Beliau telah menyalahkan media arus perdana kerana “memanipulasi” pada hal petikan temu bual beliau boleh diperolehi.
Anwar adalah ancaman kepada UMNO dan BN tetapi pada pendapat saya, ancaman yang lebih besar adalah Pas. Saya melihat Pas sebagai lawan yang lebih hebat. Tetapi ia perkongsian dalam tindak balas terhadap Anwar kerana pakatan terdesak untuk menjadikan Anwar sebagai pemimpin mereka. Saya boleh melihat dia cuba untuk menjadi PM sepanjang hidupnya. Tidak ada yang salah dengan tindakan itu. Beliau boleh terus mencuba. Bagaimanapun beliau harus menjadi kurang negatif dan menawarkan fakta dan bukti empirik dalam melakukan perubahan. Seperti yang saya katakan tadi, hari demi hari golongan menentang Anwar semakin ramai kerana beliau masih berada di landasan, retorik dan dakwaan yang sama sejak beberapa tahun yang lalu.
Saya fikir strategi terbesar dan paling berkesan bagi UMNO-BN adalah untuk terus menambah baik hal-hal ekonomi, menyediakan perumahan yang lebih baik, lebih banyak taman-taman, pengangkutan awam bertaraf dunia dan universiti-universiti bertaraf dunia.
Kita perlu mengalihkan isu mengenai Anwar dan kita harus menghantar beberapa orang pemimpin muda untuk menangani semua dakwaan yang beliau lemparkan. Pemimpin-pemimpin yang lebih berketerampilan dan berpersonaliti tinggi perlu bercakap mengenai isu-isu yang melibatkan rakyat Malaysia seperti pendidikan dan ekonomi. Pemimpin tidak harus terperangkap dengan taktik Anwar. Ia bukan satu keperluan serta bukan mandat untuk dibentangkan kepada kerajaan. Mandat sebenar adalah untuk melaksanakan kesejahteraan, kualiti hidup, melindungi persekitaran, memastikan hidup yang lebih selamat, membanteras rasuah dan pembaziran serta mempunyai kerajaan yang cekap dan amanah. Semua ini harus disampaikan dan diambil perhatian.
Harapan Anwar paling besar adalah untuk mengalihkan perhatian kerajaan. Jika kita bermain mengikut rentak beliau, Anwar akan bergembira dan melekakan kita lebih lama daripada apa yang kita sangkakan.
Pembebasan Anwar, dalam jangka panjang mampu meningkatkan lagi peluang UMNO-BN untuk mendapatkan keputusan yang lebih baik pada PRU 13 kerana ia telah meminggirkan alasan utama beliau untuk menyalahkan kerajaan.
Setiap orang adalah berhak menyatakan pandangan masing-masing dan dalam kes Anwar, ia adalah survival politik beliau dan dia akan berbuat apa-apa untuk menjadikannya relevan. Apa yang saya tidak boleh diterima adalah semua itu dilakukan untuk agenda peribadi beliau. Anwar telah melemahkan institusi-institusi penting seperti mahkamah, polis, institusi kerajaan dan pelbagai lagi yang mana ia adalah penting dalam proses mewujudkan sebuah masyarakat sivil. Dengan serangan berterusan terhadap institusi-institusi ini, Anwar telah membuatkan masyarakat hilang keyakinan dan penghormatan terhadap institusi ini.
Jika anda mengikuti pemikiran beliau, jadi ia adalah dibenarkan untuk melanggar peraturan lalu lintas kerana polis mengamalkan rasuah, ia adalah dibenarkan untuk hidup tanpa undang-undang kerana beliau berkata, polis dan badan kehakiman tidak telus dan sebagainya. Memang benar, terdapat ‘epal buruk’ di mana-mana institusi tetapi institusi itu sendiri perlu dipelihara, malangnya Anwar telah sentiasa mengganggu gugat kesejahteraan masyarakat kita. Ini adalah satu perbuatan yang sangat tidak bertanggungjawab.
SOALAN : Apa perubahan paling penting perlu dilakukan UMNO dan BN bagi memastikan survival mereka terus diterima rakyat yang majoritinya dilahirkan selepas merdeka?
TUN DAIM: Paling penting adalah berubah dalam cara melakukan kerja. PM pernah berkata ubah atau rebah. UMNO mesti telus serta memerangi rasuah dan pembaziran habis-habisan. Mereka yang lahir selepas merdeka berbeza dengan pengundi sebelumnya. Mereka kini berpendidikan, selain sangat bermaklumat selain celik IT. Dalam tahun 60-an, ibu bapa yang mempengaruhi mereka tetapi hari ini mereka cuba mempengaruhi ibu bapa mereka melalui pengetahuan hal semasa serta berdebat dengan disokong fakta dan angka yang meyakinkan. Mereka memahami maksud inflasi selain turut dipengaruhi dengan keadaan tersebut. Mereka juga memahami perkara berkaitan ekonomi dan kewangan. Ini adalah generasi yang berbeza. Jika BN tidak menghargainya, mereka tidak akan mendapat undi.
Baca penuh di http://utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2012&dt=0304&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=mh_01.htm
No comments:
Post a Comment